PERGINYA KEKASIHKU

Hi, korang apa khabar? Ingat tak kisah aku sebelum ni berkisar tentang pemeriksaan aku kat hospital kerajaan? So, aku nak sambung kisah selepas itu yang terjadi. Sebelum pemeriksaan aku buat, aku hanya dapati sedikit spotting keluar tapi malam selepas pemeriksaan tu, aku tengok spotting dah mula banyak walaupun aku dah start consume duphaston. Disebabkan kerisauan tersebut, aku pergi ke Klinik Pakar Annur untuk mengetahui pandangan pakar tentang aku dan kandungan. Doktor sarankan untuk buat ujian darah tapi memandangkan waktu itu aku masih diawal kandungan, doktor bagi aku saranan lain iaitu aku perlu disuntik dengan ubat penguat rahim kerana masalah bleeding yang aku alami. Doktor bagi aku cuti sakit 7 hari sehingga next appointment iaitu hari selasa. 

Pada hari selasa untuk second appointment, aku dikhabarkan dengan perkhabaran duka. Doktor mendapati kandungan tidak membesar seperti yang sepatutnya dan menjangkakan aku akan mengalami keguguran. Aku diam. Doktor Khamsiah memang seorang yang baik. Dia memujukku bahawa hikmah kehilangan itu mungkin mengelakkan aku dari melahirkan anak yang tidak cukup sifat. Selain itu, aku perlu gembira kerana ini menunjukkan aku dan MLH tidak mengalami apa- apa masalah dan sihat untuk mempunyai anak pada masa akan datang. Doktor menyarankan aku untuk mengambil ubat untuk mempercepatkan proses keguguran tapi aku menolak kerana jauh di sudut hatiku masih ingin memberi peluang kepada kandunganku untuk membesar. Doktor memberiku cuti sakit selama 4 hari. 

Disebabkan kesedihan itu, aku hanya memberitahu tentang cuti sakit kepada 2 orang rakan di pejabat dan aku terus melelapkan mata sesampai di rumah untuk melupakan sejenak berita yang agak sukar ku terima. Apabila aku membuka mata, terdapat mesej dari pegawai bertanya tentang status cuti sakitku. Aku memohon maaf kerana tertidur dan terlupa memaklumkannya. Dalam masa yang kritikal itu dimana aku diselubungi kesedihan, pegawai itu memarahiku kerana alasanku tidak dapat diterimanya walaupun aku telah memberitahu kisah disebalik kesilapan itu terjadi. Bagi aku, dia sepatutnya memahami kerana rakan yang lain telah memaklumkannya berkenaan status cuti sakitku tapi aku tidak faham kenapa dia begitu marah dengan tindakanku. Sebagai seorang ketua dan wanita dalam masa sama, dia seharusnya membuka hati untuk memahami masalah- masalah yang diluar jangka dialami oleh kakitangannya dan bukannya menunjukkan sikap keras yang boleh menimbulkan konflik dalaman.

Aku kembali bertugas seperti biasa setelah tempoh cuti sakit berakhir. Dalam tempoh 2 minggu aku menanti tentang keguguran, aku masih belum melihat sebarang tanda malah pendarahan yang berlaku juga sudah tiada. Aku mula risau kerana hari konvokesyen semakin dekat dan aku risau sekiranya hari yang aku tunggu- tunggu itu tidak dapat aku hadiri kerana masalah keguguran. Aku kembali ke pusat bersalin di Presint 8 untuk mengetahui status kandunganku. Doktor mengatakan bahawa kandunganku normal dan tiada tanda aku akan keguguran. Hanya masalah bleeding yang aku hadapi dan doktor memberikan aku cuti sakit 3 hari. Seperti sebelumnya, aku pasti mengalami bleeding selepas sesi pemeriksaan di pusat bersalin. Kali ini, bleeding agak banyak dan aku dapati darah cair keluar setiap kali aku membuang air kecil. Tapi aku tidak mahu membebani fikiran dan menganggap itu hanya pendarahan biasa kerana tiada kesakitan yang aku alami. Aku juga berjaya menghadiri hari konvokesyen tanpa sebarang masalah pada 7 november. 

Aku dapati darah keluar setiap hari dan adakalanya darah hitam keluar. Aku masih fobia untuk ke pusat bersalin kerana pendarahanku tidak akan berhenti sekiranya aku ke sana. Pada hari Jumaat pagi iaitu 10 november sekitar pukul 3 pagi aku terbangun kerana mengalami kekejangan perut. Aku dapati darah keluar dengan banyak bersekali dengan darah hitam. Aku mengambil keputusan sekiranya keadaanku bertukar teruk, aku tiada pilihan untuk ke pusat bersalin di Presint 8 namun kesakitan itu tidak berpanjangan dan aku tetap pergi ke pejabat seperti selalu. 

Ketika di pejabat, aku dapati darah keluar dengan deras seperti haid. Aku mula risau kerana aku dapati darah hitam beku yang berbentuk bulat kecil diselaputi bendalir putih kental seakan rupa janin yang aku tengok di google tapi bentuknya amat kecil. Pendarahanku berhenti pada pukul 12 tengahari dan perutku mula memulas sakit. Aku tidak boleh berjalan laju seperti biasa kerana kesakitan itu. Alhamdulillah aku tidak apa- apa sehingga aku selamat sampai di rumah. Ketika maghrib, aku mula merasakan kekejangan di perutku semakin sakit dan menghadkan aku untuk bergerak. 

Selepas isyak, MLH membawaku ke Hospital Ampang kerana keadaanku semakin teruk. Aku dimasukkan ke wad bersalin. Memandangkan aku tiada rekod di hospital itu, nurse mengarahkan aku membuat ujian kehamilan - ujian positif. Aku diarahkan baring di atas katil yang disediakan. Sementara MLH pergi ke kaunter pendaftaran. Selepas pemeriksaan kesihatan dijalankan, aku diarahkan ke bilik scanning. Di sana seorang doktor lelaki sedang menunggu aku. Aku diarahkan baring. Seperti selalu, doktor menjalankan pemeriksaan melalui vagina namun kali ini aku merasakan kesakitan yang amat dahsyat kerana seakan sesuatu alat dimasukkan ke dalam perutku. Doktor mengatakan bahawa jalan telah terbuka dan baby nak keluar disebabkan itu aku mengalami sakit perut. Doktor mengarahkan aku disuntik dengan ubat pengecut rahim, painkiller, ubat tahan muntah dan berehat dalam masa sejam. Namun, tidak sampai sejam aku rasa, doktor mengarahkan nurse membawa aku kembali ke bilik scanning. Disebabkan kesakitan yang aku rasai tadi, badanku mula keras dan menyebabkan spekulum patah. Mujur doktor lelaki tu tak marah, malah dia menasihatiku agar relaks untuk mengelakkan spekulum patah. Kali kedua berjaya dan seperti tadi, aku rasakan doktor memasukkan sesuatu ke dalam perutku dan menarik sesuatu. Tidak sampai 5 minit, doktor selesai memeriksa aku dan mengatakan 'complete miscarriage' - aku tak perlu dicuci dan diberikan cuti sakit selama 7 hari. Alhamdulillah aku bersyukur sangat semuanya berjalan dengan pantas dan kesakitan itu tidak lama. 

Ketika menunggu 'discharge note' dikeluarkan, nurse tersenyum kepadaku dan mengatakan bahawa aku akan hamil semula tetapi dia menyarankan agar aku merancang kehamilan selepas 3 kali haid untuk memastikan aku benar- benar sihat. Begitulah kisahku di Hospital Ampang yang segala- galanya berjalan dengan lancar. Aku redha dengan pemergian si kecil yang aku sayangi. Moga ada hikmah buat kami. 




Comments

Popular Posts