DIA YANG BAIK MENYIHIRKU

Hari ini aku nak share pengalaman aku dan sihir. Mesti korang fikir 'dunia moden kot! Ada ke benda- benda camtu?'. Yes, dunia saja dah moden tapi manusia semakin terbelakang. Hidup kita di dunia ni ada ujian masing- masing- terpulang kat kita sama ada kita mampu mengatasinya atau kita tumpas. Setiap apa jua ujian yang kita alami, ingatlah syaitan tak pernah putus asa menghasut kita untuk menyimpang dari landasan, namun kita perlu tahu rahmat kasihNYA jauh lebih agung dari tipu daya syaitan yang direjam.


Pada mulanya, aku demam secara mendadak - tanpa sebarang sebab yang boleh aku kaitkan untuk punca aku jatuh sakit. Aku demam panas sehingga habis lencun baju aku pakai. Selepas demam panas, aku diserang demam sejuk hingga ke tulang hitam aku rasa kesejukan sedangkan bilik sudah cukup panas. Aku menggigil- gigil menahan sejuk. Panas dan sejuk ni bersilih ganti sehingga aku diserang muntah- muntah tanpa henti. Aku mula merasa mual dan tak boleh makan mahupun minum. Sekiranya aku minum walau segelas air suam, aku akan berlari ke toilet untuk memuntahkan apa jua yang masuk ke dalam perutku ketika itu. Aku lemah. 

Doktor? Banyak kali juga aku ke klinik untuk memeriksa tahap kesihatan yang agak merosot. Apabila aku menemui doktor, tiada sebarang punca yang boleh doktor dapati untuk mengatakan bahawa aku sedang sakit. Tetapi doktor melihat keadaan aku yang teruk menyebabkan aku mendapat surat sakit setiap kali menemui doktor. Setiap kali aku pulang ke rumah, setiap kali itu juga aku muntah- muntah, demam panas dan sejuk bersilih ganti sehingga menghalang aku tidur. Aku menangis- buntu apakah sebab kesakitan ini. Rukyah ku pasang tatkala aku tidak lena di hujung malam. Keadaan ku semakin parah. Lantas aku mengambil keputusan untuk membeli tiket kapal terbang pulang ke pangkuan keluargaku di Sabah.

Keluarga yang melihat keadaan ku setibanya aku di airport, masing- masing menitiskan air mata. Aku seakan bangkai hidup yang berjalan menghampiri mereka. Ibu membawa aku berubat secara kampung apabila perubatan moden tetap tidak mampu merawatku, bahkan apa jua ubat tidak boleh menembusi perutku dan semuanya keluar semula. Pakcik yang mengubatku secara kampung ternyata bisa menyembuhkanku. Selepas menemuinya, aku terus bertukar sihat secara automatik.

Aku kembali ke negeri tempatku mencari rezeki. Dua minggu selepas aku pulang dari bercuti, aku diserang sakit yang sama. Aku kembali ke Sabah semula. Pakcik itu mengubati aku semula dan aku sembuh - aku kembali ke tempat kerja semula. Pada kali ini, hanya seminggu aku bertahan dan aku kembali terbang ke Sabah. Seperti sebelumnya aku sihat selepas dirawat oleh pakcik itu dan ketika itu, aku tidak terus pulang ke tempat kerja. Aku memohon cuti tanpa gaji selama sebulan.

Selepas cuti aidilfitri, aku mengambil keputusan untuk memendekkan cuti tanpa gaji yang diambil dan kembali bertugas. Sekali lagi aku diserang sakit yang sama. Aku hampir- hampir pulang ke Sabah semula sehinggalah salah seorang driver di pejabatku datang menghulurkan bantuan. Dia yang membawa aku menemui pengamal perubatan Islam, ustaz Hafiz aku panggil. 

Malam pertama aku menemui ustaz Hafiz, aku batuk tanpa henti. Pusat rawatan ustaz Hafiz pada malam itu sememangnya dikunjungi oleh ramai pesakit dan bukannya aku sahaja. Apabila tiba giliran ku dipanggil, aku masuk dan ku lihat masih ramai pesakit yang sedang menunggu ustaz Hafiz. Apabila tiba giliran aku, ustaz Hafiz bertanya kepadaku apa masalah yang aku alami. Aku pun menceritakan penyakit aneh yang aku alami. Ustaz Hafiz terus mendekatiku dan membacakan rukyah ke atas ku. Kemudian, ustaz Hafiz menjauhi ku. 

"Kakak di sihir!"

Ustaz Hafiz memandangku tajam. Aku yang pucat dan lesu hanya diam memandang ke arahnya. Kemudian ustaz Hafiz bertanya kepada aku sekiranya aku pernah bergaduh dengan mana- mana rakan sekerja. Tapi aku hanya mengingati kisah perebutan Anugerah Pekerja Cemerlang setahun yang lepas kerana hanya itu kisah buruk yang aku ingati sepanjang berkerja selama 7 tahun. Ustaz Hafiz mengarahkan aku datang semula dan datang membawa telur ayam kampung dan limau nipis - aku sudah lupa berapa banyak yang aku perlu bawa ketika itu. 




Malam kedua aku menemui ustaz Hafiz dengan membawa barang- barang yang dia minta. Malam itu, dia rukyah bahagian belakangku kerana aku masih rasa mual dan sakit belakang. Ustaz Hafiz berpesan kepada ku agar menghafal bismillah lima. Aku hanya mengangguk walaupun agak payah untuk aku menghafal - faktor penuaan 😄


Malam ketiga aku datang, ustaz Hafiz belum selesai merukyah barang- barang yang berikan pada malam sebelum itu. Malam itu aku sekali lagi dirukyah kerana aku masih mual dan tidak mampu untuk makan. Sekali lagi ustaz Hafiz mengingatkan aku tentang bismillah lima. Sebelum malam terakhir aku menemui ustaz Hafiz, aku telah berdoa ketika solat isyak mohon Allah tunjukkan angkara siapakah semua ini dan aku tidak mahu menuduh seseorang yang boleh menjadi fitnah. Pada malam itu, aku bermimpi di mana seseorang yang cukup aku kenali. Dia mengaku meletakkan sesuatu di bawah meja kerjaku dan mengaku bahawa dialah yang menyihirku. Aku terjaga dan terus berfikir adakah ini jawapan dari doaku atau mainan tidur.

Malam itu, aku menemui ustaz Hafiz untuk mengambil barang yang telah dirukyah yang perlu aku gunakan untuk memulihkan diriku. Pada malam itu, ustaz Hafiz mencucuk- cucuk telapak tanganku dengan kayu. Ketika itu ustaz Hafiz bertanya adakah aku mendapat mimpi? Aku cukup terkejut dan lambat- lambat aku mengiyakan. Ustaz Hafiz hanya memberi amaran agar aku lebih berhati - hati. 

Alhamdulillah selepas selesai rawatan dengan ustaz Hafiz, aku kembali sihat dan aku juga berpindah tempat duduk. Orang jahat itu kelihatan cukup marah dan tidak puas hati apabila mengetahui aku bertukar tempat. Aku tidak tahu apa kesilapan yang aku lakukan sehingga menyebabkan dia bertukar menjadi jahat - seingat aku, hubungan kami cukup baik dan aku selalu memuji kecantikannya, dia juga gemar memberikan aku makanan dan pakaian. Aku langsung tidak pernah berselisih faham dengannya tapi aku tidak tahu apakah sebab semua itu terjadi. Disebabkan kejadian hitam itu, aku cuba berhati - hati dan aku mula renggang dari kawan- kawan seunit kerana aku lihat orang jahat itu cukup rapat dengan yang lain. Kini, aku hanya fokus dengan kerja dan rumahtanggaku.





Comments

Popular Posts