UPT DI KLINIK DAN HOSPITAL KERAJAAN

Hi, guys! Malam ni aku nak share pengalaman buat pregnancy test kat government hospital. Selepas aku settled buat papsmear dengan Dr. Khamsiah, hari- hari aku tunggu bila nak period - nak tengok circle dah panjang or tetap sama. Selepas menjangkau lebih 18 hari, aku saja- saja nak try urutan bidan - aku nak tahu keadaan rahim dari segi pandangan bidan pula. Kakak bidan tu cakap rahim aku terselit disebabkan oleh angin yang dah mula naik ke peha dan bawah rahim. Dia sempat buat kejap jelah sengkak rahim sebabnya aku tak tahan sakit. So, kakak bidan tu bagi aku next appointment after 10 days from my next period. Sehari selepas urut tu, aku rasa badan aku lemah semacam dan jadi malas nak ke mana- mana. Aku lebih suka rehat dan baring kat katil. Dari seminggu sampailah dah menjangkau 2 minggu dari tempoh kakak tu urut, aku still tak datang period.

Aku dah mula rasa risau. Atas nasihat beberapa orang rakan, akhirnya aku mengambil keputusan untuk membuat pregnancy test di rumah. Jumaat malam baru- baru ni, aku ajak MLH pergi beli pregnancy test di Caring Pharmacy. Aku beli yang murah je. Balik tu tak sabar- sabar, aku terus buat test tu. Tak sampai berapa second je, aku tengok line tu satu- satu jadi terang. Selepas seminit amat jelas double line kat pregnancy test tu. Aku tunjuk kat MLH- dia siap rujuk kat kotak nak tengok cmne nak baca walaupun aku dah cakap 'it's positive'. 

Mungkin disebabkan aku agak aktif berjalan- jalan, hari ahad petang aku dapat spotting sket. Mengalir gak air mata tengok benda tu walaupun MLH try nak pujuk. Malam tu aku rehat kat katil dan tidur awal. Aku dah decided nak ke klinik kesihatan Presint 18 yang berhampiran dengan pejabat aku. Lawatan aku ialah pada hari ini iaitu Isnin, 09 September.

Mula- mula sampai, aku ambil nombor kat kaunter pendaftaran sebelum buat pendaftaran untuk bertemu doktor. Selesai sahaja pendaftaran, aku diarahkan menunggu di Zon Raflesia. Aku tengok zon ni lebih kepada pemeriksaan ibu dan anak. Tak lama camtu, nombor aku naik untuk bilik triage. Aku buka je pintu dan aku cukup terkejut ada dua orang lelaki sedang borak- borak sesama sendiri. Rupanya dorang ni ditugaskan untuk memeriksa tekanan darah dan suhu badan selain masalah- masalah yang kita hadapi. Selepas itu, aku keluar semula dan tunggu nombor dipanggil semula.

Tak lama jugalah aku tunggu dan nombor aku naik. Aku diarahkan ke bilik nombor 28. Aku lihat seorang doktor perempuan yang muda sedang menanti aku. Apabila aku cakap nak buat pregnancy test, doktor tu arahkan aku ke bilik nombor 30. Di sana, aku baring di atas katil dan proses scanning dilakukan. Pada mulanya, aku tengok doktor muda itu agak kelam- kabut sehingga terlupa nak on switch mesin scanning. Kedua, doktor tu meragui kandungan aku apabila dia tidak mampu melihat apa- apa di dalam rahim aku sehingga dia memanggil doktor lain untuk melakukan scanning kat aku. Doktor lain yang datang tu beritahu kandungan aku still awal dan kecil. Doktor yang sorang tu arahkan aku ke biliknya semula.

Di dalam bilik, doktor tu buat surat rujukan untuk aku ke klinik kesihatan ibu dan anak di presint 11 kerana aku mendaftarkan alamat lama. Aku pelik tengok doktor tu tulis BBRP P8 tapi dia cakap pergi ke klinik presint 11 sebab alamat rumah aku kat presint 11. Doktor tu suruh aku buat pregnancy test dan scanning kat sana. Aku pun akur jelah walaupun aku agak kecewa dengan prosedur yang sedemikian rupa. Sesampainya aku di klinik presint 11, nurse kat sana bagitahu aku kena pergi ke hospital bersalin berisiko rendah kat Presint 8. Dorang tak boleh nak check aku secara details dan hospital tu lebih sesuai untuk melakukan pemeriksaan yang lanjut. 

Aku pun pergilah ke hospital kat presint 8. Selepas mendaftar, aku diarahkan ke bilik pemeriksaan untuk ibu- ibu mengandung. Dalam bilik tu, aku lihat ada seorang nurse dan seorang doktor perempuan yang agak muda. Nurse tu panggil aku untuk buat pemeriksaan. Bagi aku nurse ni memang terlatih dan dia begitu bagus memberi penerangan tentang masalah yang aku hadapi iaitu spotting. Nurse tu pun arahkan aku ambil sampel air kencing untuk buat ujian kehamilan sekali lagi.

Selepas pemeriksaan nurse, doktor muda tu panggil aku dan bertanye beberapa soalan tentang sejarah dan peribadi aku. Kesimpulan dari soal jawab itu, doktor muda tu beri kesimpulan kemungkinan aku mengandung di luar rahim. Aku yang dah letih dan langsung tak makan apa- apa, tak ambil berat sangat tentang kesimpulan tersebut. Tak lama macam tu, masuk seorang doktor lelaki india memeriksa pesakit yang dah lama baring kat dalam bilik pemeriksaan. Time tu aku dah cuak, takkan doktor lelaki yang nak buat pemeriksaan. Nurse panggil aku masuk bilik pemeriksaan dan arahkan aku tukar kain dan buka skirt dan underwear. Kemudian aku diarahkan baring di atas katil. Kali ni aku akan diperiksa melalui vagina menggunakan alat scanning yang panjang dimasukkan ke dalam vagina untuk melihat kandungan aku. Proses pemeriksaan itu dilakukan oleh doktor lelaki itu. Aku takde pilihan dan akur jelah demi kesihatan aku dan baby yang dalam perut ni.

Doktor lelaki tu tanya berapa kali spotting dan apa- apa kesakitan yang aku alami. Bagi aku doktor ni memang bagus dan baik melayan pesakit wanita. Doktor pelatih tu agaknya serahkan report tentang aku kat doktor lelaki tu dan dia agak terkejut apabila doktor pelatih tu membuat kesimpulan yang aku mengandung luar rahim. Doktor lelaki tu tunjuk baby yang still kecil melalui screen disebelah aku tapi tak berapa jelas dan doktor tu arahkan aku ke tingkat lima untuk pemeriksaan sekali lagi. Di sana, aku sekali lagi melakukan scanning melalui vagina dan kali ini agak jelas kelihatan baby dalam perut aku yang masih kecil. Doktor nasihatkan aku jangan banyak gerak, lebih rehat dan jaga makan. Aku dengar doktor menyebut macam- macam jenis ubat untuk doktor pelatih tulis mengenai keperluan ubat  aku tapi lastly, aku dapat ubat untuk kuatkan rahim saja. 

Selepas pemeriksaan, aku tengok jam dah hampir ke pukul 1 tengahari. Aku tanya nurse sekiranya aku boleh dapatkan cuti sakit. Tapi nurse yang lain beritahu aku yang pihak hospital tidak boleh bagi apa- apa cuti sakit dan aku perlu minta kat klinik p18 sebelum aku ke hospital. Dalam masa yang sama, nurse itu arahkan aku ke farmasi dahulu dan datang semula untuk mengetahui adakah doktor setuju untuk berikan cuti sakit atau tidak. Apabila aku dah selesai ambil ubat, nurse tu masih belum bertanya kepada doktor dan aku lihat dia serahkan cuti sakit kepada seorang wanita yang aku lihat agak sihat dan masih mampu bergelak ketawa. Sedangkan aku diarahkan untuk bertanya kepada diktor dahulu. Waktu tu aku dah mula naik angin sebab aku dah makan banyak masa di hospital itu dan nurse itu seakan tidak ambil berat tentang cuti sakit yang aku minta. Mujur time tu doktor masuk semula untuk merawat pesakit yang lain. Ketika itu aku dengar nurse itu bertanay sekiranya boleh memberikan cuti sakit kepada aku. Pada mulanya, doktor say no tapitiba- tiba dia bertanya pesakit yang mana dan nurse itu menunding jari ke arah aku. Doktor tu menghampiri aku dan dan bertanya berapa hari aku nak untuk cuti sakit tapi aku hanya minta untuk hari ni saja dan dia arahkan nurse berikan aku cuti sakit. Aku tengok muka nurse tu agak serba salah dan takut- takut.  Mungkin dia berharap aku tidak dapat cuti sakit. Begitulah kisah aku pada hari ni dan next appointment adalah pada 30 september.

Comments

Popular Posts